BAHASA MELAYU MODEN
SEJARAH PERKEMBANGAN TULISAN
PENGENALAN BAHASA MELAYU MODEN
Bahasa Melayu (BM) moden merujuk bahasa yang digunakan pada abad ke-19 hingga sekarang. Bahasa ini berkembang selari dengan penguasaan negara Eropah di Asia Tenggara. Dalam tempoh ini, bahasa Eropah, bermula dengan bahasa Portugis, diikuti bahasa Belanda, dan kemudiannya bahasa Inggeris, bertapak di Nusantara, dan seterusnya mempengaruhi bahasa Melayu.
Bahasa Melayu moden merupakan kesinambungan daripada bahasa Melayu klasik, tetapi bahasa ini menerima pengaruh bahasa Inggeris yang sangat kuat. Walaupun begitu, bahasa ini tidak menerima sistem pembentukan bahasa itu, dan tidak juga mengetepikan bahasa Sanskrit dan bahasa Arab yang diguna pakai sebelumnya.
Bahasa Melayu moden tidak berkembang secara bersendirian seperti Bahasa Melayu Kuno dan Bahasa Melayu klasik. Hal ini dikatakan demikian kerana BM moden mengalami perancangan oleh badan bahasa yang ditubuhkan khas, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selain itu, Bahasa Melayu moden diberi status sebagai bahasa kebangsaan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, yang kemudiannya menjadi Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
PERANAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP)
- Penubuhan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) bertujuan untuk mengembangkan Bahasa Melayu yang bakal dijadikan bahasa Kebangsaan pada ketika itu.
- DBP juga menjalankan pelbagai program dalam mengusahakan memperkembangkan bakat kesusasteraan.
- DBP juga berperanan untuk mencetak dan menerbitkan atau membantu dalam percetakan dan penerbitan buku-buku, majalah-majalah,risalah-risalah, dan pelbagai bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain.
- Pihak DBP juga berperanan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Kebangsaan yang betul.
Comments
Post a Comment